.LASKAR PELANGI.
7 Jun 2011, 12 tengah malam, aku masih berjaga demi menyiapkan tugasan yang diberi oleh Encik Izwan Suhadak, pensyarah subjek ‘Computer Application’ yang berkisar tentang diri sendiri. Katanya mulakan sejak di dalam perut ibu. Aku mengeluh. Tugasan yang diberikan benar-benar membuat aku memerah otak yang sudah berkarat kerana telah lama meninggalkan zaman persekolahanku. Kelas pertama bersama beliau cukup menghuru-harakan kelas Asasi Pengurusan sehingga terwujudnya kumpulan Huru-hara di Facebook. Aku juga salah seorang ‘mangsa’ beliau kerana mengeluarkan ungkapan ‘dinding hati’ semasa perdebatan antara dua kumpulan tentang penggunaan komputer. Tiba-tiba terlintas di kepalaku bagaimana aku boleh sampai ke sini, Universit Selangor. Kadang-kadang aku merasa seperti aku sedang bermimpi. Tetapi realitinya aku sudah di sini. Alhamdulillah.
i sini segalanya bermula,
PAK ABU MENOREH GETAH,
PERGI MENOREH DI WAKTU PAGI,
RIANG IBU MENGANDUNG NURUL AFIQAH,
ZURIAT YANG SANGAT DINANTI-NANTI.
Setiap orang yang lahir ke dunia ini adalah insan yang terpilih. Begitu juga dengan aku. Aku adalah anak yang dinanti-natikan oleh kedua ibu bapaku kerana mereka menginginkan seorang lagi puteri bagi melengkapkan keluarga kami. Aku dilahirkan dalam kedudukan songsang dan juga dikatakan kandungan yang berisiko kerana ibuku telah berumur 39 tahun pada ketika itu. Tetapi ibu bapaku tetap gembira mendengar berita dari doktor bahawa aku telah berusia dua bulan.
Aku dijaga dengan sepenuhnya. Aku diberitahu oleh ibuku, beliau mengamalkan minum air soya supaya kulitku putih seperti telur yang dikupas. Beliau juga mengamalkan makan tempe untuk meningkatkan fungsi otak bayi di dalam kandungan. Manakala bapaku pula terpaksa melayan karenah ibuku yang mengidam berbagai makanan. Tetapi yang membuatkan bapaku bertambah resah apabila ibuku tidak suka dengan bau badan bapaku sehinggakan bapaku terpaksa menghindarkan dirinya daripada ibuku. Bapaku hanya mampu bersabar kerana beliau tahu kesabarannya bakal dibalas dengan ganjaran yang lebih besar iaitu kelahiranku.
Genap 9 bulan di dalam perut ibu, aku pun menendang dinding rahim tanda aku ingin melihat dunia. Ibuku dikejarkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur. Ibuku berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan dibedah seperti yang disarankan oleh doktor. Dalam kedudukanku yang songsang ketika itu membuatkan bilik bersalin itu kecoh kerana takut aku akan lemas di dalam perut. Alhamdulillah. Aku selamat dilahirkan. Bapaku membisikkan Iqamah di telingaku. Aku tersenyum. Aku bagaikan tahu aku adalah orang yang dirai pada hari itu.
Sejak itu, aku menjadi puteri bongsu kepada pasangan bahagia ini, Abdul Ghani Ahmad dan Zaharatun Md Isa. Aku juga disambut baik oleh tiga adik beradikku yang lain kerana aku boleh dikatakan comel semasa bayi. Aku membesar dengan penuh kasih sayang oleh seluruh ahli keluargaku. Aku diberi nama dengan nama yang sangat indah oleh kakak sulungku, Nurul Afiqah Binti Abdul Ghani. Namaku membawa seribu erti, “Cahaya yang Pemurah dan Berpengatahuan.” Tatkala kakakku memanggilku dengan nama tersebut, aku tersenyum tanda setuju. Tetapi ibuku hanya menggunakan panggilan “adik” kepada diriku.
i usia 7 tahun, aku didaftarkan ke Sekolah Rendah Kebangsaan Perempuan Methodist. Aku didaftarkan di sana kerana berdekatan dengan tempat tinggalku di Bangsar. Sepanjang aku bersekolah di sana, aku diajar supaya berkawan dengan semua orang tanpa mengira bangsa. Aku juga terlibat aktif dalam sukan gimrama. Apa yang membuatkan aku tidak akan lupa pada sukan gimrama adalah Puan Fatmawatie yang merupakan jurulatihku yang sentiasa menyokong aku untuk terlibat dalam bidang ini. Beliau juga merupakan guru matematik bagi kelasku. Sifat berfikiran terbukanya membuatkan aku senang dengannya. Beliau juga merupakan guru persendirianku dan beberapa lagi rakan-rakanku.
Semasa aku menjadi anak didiknya, aku selalu diberi ganjaran apabila mendapat markah yang cemerlang untuk subjek Matematik. Antara memori yang masih terpahat di ingatanku adalah melawati Taman Rama-rama di Kuala Lumpur. Itu sudah cukup menunjukkan kesungguhan beliau untuk mengajar kami. Bagi kami sebagai anak didiknya, jasanya tidak dapat dibalas dengan wang ringgit cuma doa sebagai pengganti.
Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Kegembiraan itu hanyalah seketika kerana aku terpaksa berpindah ke Kajang pada umurku 9 tahun atas sebab bapaku telah membina sebuah rumah di sana. Pada mulanya aku memberontak untuk pindah ke sana kerana di sana adalah kawasan perkampungan. Tiada gedung membeli belah, tiada panggung wayang. Yang ada hanyalah ayam, itik, dan kera. Aku bosan.
Bapaku yang rasa bersalah dengan keputusannya mencuba berbagai cara untuk memujukku supaya sukakan tempat tinggalku yang baru ini. Seingat aku bapaku pernah membina sebuah pondok kecil untukku dan sebuah buaian di bawah pokok rambutan. Ibuku juga melayan karenahku supaya aku sukakan tempat ini. Jika aku bermain di pondok itu setiap petang, ibuku selalu membawa minum petang ke sana. Aku dialayan seperti puteri ketika itu. Lama kelamaan aku mula menyukai tempat tinggal baruku dengan adanya kawan-kawan yang sekepala denganku. Keakrabanku dengan mereka membuatkan aku telah jatuh hati kepada tempat ini.
Aku juga dipindahkan ke sekolah yang berdekatan dengan rumahku iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Putra. Sejurus aku menjejakkan kaki ke sekolah itu, aku melihat keadaan sekelilingnya. Aku kaget. Mana tidaknya, dewan dijadikan kelas, ruang padang bola yang kecil, kolam ikan yang terbiar. Aku kecewa sekali lagi. Aku benar-benar seperti rusa bandar masuk kampung. Tetapi aku malas melayan perasaanku yang bakal merisaukan ibu bapaku seperti sebelum ini. Aku berpura-pura.
“ Adik, suka tak sekolah baru ni?” Tanya bapaku dengan lembut.
“Emm. Suka abah. Aisyah kan ada, nanti bolehlah dia temankan adik.” Jawabku untuk menyenangkan hatinya.
Aisyah adalah teman sekampungku. Dialah yang menemani aku ke hulu ke hilir. Kebetulan kami di kelas yang sama. Dia membuatkan aku biasa dan tidak kekok dengan tempat tersebut. Semasa kami di Darjah 4, kami dilantik menjadi pengawas sekolah. Aku juga aktif dalam pidato dan menjadi wakil sekolah pada ketika itu. Walaupun begitu, aku tidak mengabaikan pelajaranku. Azamku ketika itu ialah lulus cemerlang dalam UPSR dan mengalahkan kawan-kawanku di Kuala Lumpur.
eputusan UPSR yang aku duduki hanya sekadar cukup makan. 3A dan 2B. Aku bersyukur. Ibuku telah merancang untuk mendaftarkan aku ke sebuah sekolah agama berdekatan rumahku, Sekolah Agama Menengah Sungai Merab Luar. Aku akur. Sebenarnya aku agak teruja untuk ke sekolah itu kerana aku akan ditempatkan di asrama. Fikiran sempitku berkata bahawa kehidupan di asrama itu kehidupan bebas kerana jauh dari orang tua. Lebih-lebih lagi aku fikirkan tiada lagi sesiapa yang akan membebel padaku setiap hari.
Aku silap. Apabila sudah berada seminggu di asrama, aku merasakan susah dan payahnya hidup jauh daripada orang tua. Boleh dikatakan hampir tiap-tiap hari aku menelefon ibuku tanda aku rindu. Mana tidaknya, basuh pakaian sendiri, bangun seawal 5 pagi untuk berebut tempat mandi, sering juga ketiadaan air. Tetapi aku perlu teruskan kehidupan berdikari ini. Hari tidaklah selalunya mendung, ada juga terselit kegembiraan disebalik kesusahan ini. Kawan-kawan dan senior di sana semuanya sekepala denganku. Aku tidak merasa kekok ataupun merasa jarak umur apabila bergaul dengan mereka. Aku juga aktif dalam Persatuan Silat Cekak Ustaz Hanafi bagi meningkatkan ketahanan diri. Aku bersekolah di sana hinggalah Tingkatan 3 dan menduduki PMR di sana.
eputusan PMR ku melayakkan aku untuk masuk ke Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur. Aku ke sekolah teknik atas kemahuanku sendiri kerana aku bercita-cita untuk menjadi jurutera satu hari nanti. Aku sangat bersyukur kerana sekolah itu adalah sekolah teknik kawalan. Di sana, aku mengambil Jurusan Elektrik dan Elektronik. Aku adalah pelajar kemasukan yang ketiga. Seingat aku, aku mendaftar ke sekolah itu sehari sebelum pelajar lain menduduki ujian bulanan kerana aku boleh dikatakan antara pelajar yang lambat mendaftar. Aku hanya mampu tergelak mendengar berita itu dari rakan baruku. Apalah yang akan ku jawab untuk ujian esok. Otakku masih kosong belum diisi dengan pelajaran. Selepas pulang ke asrama, aku cuba untuk menyelak buku Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Aku tergelak sendiri melihat isi kandungan buku itu. Aku langsung tidak memahami isi kandungannya. Gelagat aku telah disedari oleh rakan sebilik yang juga merupakan rakan sekelasku. Dialah yang membantu mengajarku persediaan untuk ujian esok. Tetapi kefahamanku terhad kerana belajar dalam masa yang sangat singkat.
Di sekolah ini juga aku bergiat aktif dalam Skuad Kawad Bomba dan Penyelamat. Aku adalah pelajar yang terendah dalam platun. Tetapi semangat juangku tidak serendah ketinggianku. Aku sangat bersemangat ketika berkawad. Di dalam kawad jugalah aku belajar semangat setiakawan sehinggalah orang menggelar kami dengan gelaran “Kental”. Bila diingatkan kenangan bersama mereka membuatkanku tersenyum. Berkawan dengan mereka adalah perkara yang termanis dalam pengalaman aku berkawan. Kami bersahabat sehinggalah sekarang dan aku sangat menghargai persahabatan kami.
Dari segi pelajaran pula, aku bukanlah pelajar cemerlang. Aku pelajar yang sederhana bagi semua subjek kecuali subjek Matematik Tambahan dan Sejarah. Aku pernah dimasukkan ke kelas pemulihan bagi kedua-dua subjek ini. Aku terasa seperti aku insan yang paling bodoh ketika itu. Aku selalu mendapat 9G dalam subjek Sejarah. Tetapi dengan berkat usahaku, aku berjaya keluar dari kelas pemulihan itu.
Inilah sekolah terakhirku dimana tempat aku menduduki SPM. Sepanjang SPM berlangsung aku tidak pernah putus berdoa supaya dapat melaluinya dengan lancar. Pada hari pertama SPM berlangsung, subjek pertama adalah Bahasa Melayu. Tangan aku menggigil semasa menulis. Aku sedikit terganggu.
“Piqa, jangan gementar. Kau boleh buat! Ya Allah, tolonglah tenangkan hamba-Mu ini.” Bisik hati kecilku.
Aku terus kembali menulis. Semuanya berjalan dengan lancar. Aku lega. Untuk subjek-subjek yang seterusnya aku menghadapinya dengan lebih tenang sehinggalah subjek terakhir iaitu Lukisan Kejuruteraan. Sejurus tamatnya peperiksaan terakhir, aku pergi ke surau untuk membuat sujud syukur tanda kesyukuran kerana telah selesai menjawab kesemua kertas soalan.
Dengan tamatnya peperiksaan terakhir itu, aku bukan lagi bergelar pelajar sekolah. Perasaaanku bercampur baur untuk meninggalkan sekolah ini. Sekolah ini ialah tempat belajar yang banyak meninggalkan kesan hidup terhadapku. Aku menyimpan 1001 kenangan pahit dan manis di sini dan aku pahatkan di hati.
ini tibalah masa yang sangat dinanti-nati oleh lepasan SPM tahun 2008. Keputusan diumumkan akan keluar. Tidak putus-putus pesanan ringkas yang dikiramkan oleh rakan-rakan sekolahku mengatakan mereka gementar menunggu keputusan. Ada juga yang menyatakan mereka tidak boleh tidur semalaman menunggu untuk mengambil keputusan esok. Tidak kurang juga denganku, malam sebelum mengambil keputusan,aku tidak dapat tidur dengan nyenyak.tetapi aku cuba juga menutup mata dan akhirnya tertidur juga. Di dalam tidurku, aku bermimpi yang aku mendapat 3A sahaja dan aku terjaga dari tidur. Aku yang tidak puas hati lalu menyambung tidurku semula. Aku bermimpi lagi yang aku mendapat 5A pula. Aku terjaga. Jam sudah menunjukkan pukul 6.30 pagi. Aku bingkas bangun untuk menunaikan solat Subuh dan bersiap untuk pergi ke sekolah. Aku mengambil keputusan untuk pergi menaiki kenderaan awam sahaja.
Setibanya aku di sekolah, aku melihat ramai kawan-kawanku yang sudah sampai dan melambai-lambai kearahku. Hatiku yang mulanya gementar kembali tenang melihat kawan-kawanku yang sedang tersenyum. Mungkin mereka mendapat keputusan yang diinginkan. Aku memberi isyarat kepada mereka bahawa aku mahu mengambil keputusan sebentar. Mereka angguk. Tiba-tiba ku tersa darahku berderau laju pabila ku melangkah ke dalam dewan. Aku mencari kaunter untuk kelasku. Rupa-rupanya di sebelah aku sahaja. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim aku duduk di kerusi yang disediakan. Tidak berhenti mulutku selawat dan berdoa supaya mendapat keputusan yang baik. Selebihnya aku redha. Tiba-tiba aku terdengar Cikgu Faizah memanggil namaku tanda giliran aku sudah tiba. Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaanku ketika itu. Cikgu Faizah memberikan ku sehelai kertas.
“Ini keputusan awak. Tahniah! Nasib baik subjek saya A. Tandatangan di sini.” Kata Cikgu Faizah.
Aku terkejut melihat keputusanku sendiri. Lebih dari apa yang ku jangkakan. Alhamdulillah. Yang paling membeliakkan mataku melihat keputusan sendiri apabila melihat subjek Sejarah mendapat 1A. Aku terasa seperti ada magis yang mengubah keputusan sejarahku itu. Mungkin ini semuanya sudah tersurat untukku. Aku bersyukur. Kesemuanya aku mendapat 5A sama dengan apa yang ku mimpikan pagi tadi. Aku tergelak kecil. Aku mengucapkan terima kasih kepada semua cikgu. Kemudian aku berjumpa dengan kawan-kawanku tadi. Kami memberitahu keputusan masing-masing. Semuanya mempunyai keputusan yang hampir sama. Kami tergelak bersama-sama. Tiba-tiba aku terfikir, mungkin keputusan sahaja yang sama tetapi kami akan berpisah membawa haluan masing-masing.
epat sekali jangkaanku itu, haluan kami semua bebrbeza. Ada yang pergi menyambungkan pelajaran ke IPTA, IPTS dan juga Kolej Matrikulasi. Aku memohon ada Program Asasi Pengurusan di Universiti Selangor Kampus Shah Alam. Walaupun terpesong dari apa yang aku belajar selama ini, aku hanya mencuba nasib dan rezeki. Aku mengetahui tentang universiti ini dari lepasan-lepasan yang juga mengambil program asasi.
Sebulan selepas aku memohon untuk program tersebut, aku mendapat surat tawaran daripada Universiti Selangor.Aku juga mendapat tawaran daripada Kolej Matrikulasi Changlun dan juga Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah di Universiti Teknologi Malaysia. Semua tawaran ini membuatkan aku merasa dilema. Tetapi keluargaku banyak memberi pendapat dan dorongan kepadaku. Mereka menyuruh aku membuat keputusan sendiri kerana ini adalah masa depanku. aku juga ada bertanyakan pendapat orang lain dan membaca beberapa laman web yang boleh membantu aku membuat keputusan. Setelah puas aku mengkaji dan menelaah, aku merasa Program Asasi Pengurusan adalah yang paling sesuai dengan diriku.
anggal 25 Mei 2011, hari pendaftaran bagi Program Asasi Pengurusan di Kampus Shah Alam. Pada tarikh keramat itu jugalah, aku dengan secara rasminya telah menjadi warga Universiti Selangor, bakal mahasiswi universiti itu. Selepas mendaftar, aku bergerak ke Wisma Mais yang merupakan kediaman mahasiswa dan mahasiswi Universiti Selangor. Aku melangkah naik ke tingkat 2 dengan barang-barangku seperti orang yang mahu lari rumah. Seluruh ahli keluargaku yang sanggup mengambil cuti turut menghantarku hingga ke pintu bilik. Aku tahu mereka menghantarku dengan seribu harapan. Ibu bapa mana yang tidak mahu melihat anak-anaknya berjaya.
Aku melihat usaha mereka sebagai pembakar semangatku di sini. Aku di sini hanya setahun dan masa itu terlalu singkat untuk berbulan madu. Perjuanganku di sini bukanlah bersendirian, aku ditemani dengan rakan-rakan seperjuanganku. Kami sampai di sini dari latar belakang yang berlainan tetapi mempunyai tujuan yang sama. Aku telah memulakan langkahku di sini dan aku mahu berakhir dengan akhiran yang baik.
Begitulah perjalananku hidupku dari aku di dalam perut hingga sampai ke Universiti Selangor dan sehinggalah aku mendapat tugasan dari pensyarahku, Encik Ishak Suhadak. Barulah ku rasa sempurnanya hidup sebagai seorang mahasiwi.
PAK ABU HABIS MENOREH,
SEKIAN TERIMA KASIH.